Pemancing Jumpa Kaki Manusia

NIBONG TEBAL: Seorang pemancing terkejut menemui bahagian kaki dipercayai milik seorang mangsa kemalangan yang dibuang ke sungai berdekatan Jeti Batu Musang, Batu Kawan, semalam. 

Pemancing berusia 30-an itu dikatakan sedang memancing di kawasan tebing berkenaan kira-kira jam 4.30 petang, apabila terlihat satu objek terbenam di dalam selut. Beliau kemudian memeriksa objek itu dan mendapati ia kaki manusia dari bahagian lutut ke bawah. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Deputi Superintendan Shariffudin Abdullah, berkata bahagian kaki itu dipercayai dibuang ke dalam sungai oleh waris mangsa kemalangan motosikal pada 15 Disember lalu. "Bahagian kaki itu telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan kita akan memanggil waris mangsa kemalangan bagi memudahkan doktor melakukan ujian DNA. "Ini untuk memastikan kaki yang dibuang itu adalah benar milik mangsa," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.