Kuala Lumpur : Astro selaku penyiar program realiti Akademi Fantasia
(AF) 2015 akur dan menghormati keputusan Rozita Che Wan, 42, yang
mengesahkan menarik diri sebagai juri tetap program berkenaan semalam.
Rozita atau Che Ta membuat keputusan itu selepas diherdik Pengetua AF2015 Edry Abdul Halim, malam Ahad lalu.
Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad berkata, pihaknya menerima
pengunduran Rozita dengan hati terbuka kerana keputusan terbabit
dilakukan atas dasar profesionalisme.
“Sebenarnya selepas tamat program AF malam Ahad itu, Rozita sudah
berjumpa saya dan menyuarakan hasrat untuk menarik diri selepas insiden
itu.
"Kita pun tidak boleh paksa mana-mana individu terus bekerjasama
dalam program kita jika keadaan kurang menyenangkan pihak tertentu.
"Sebagai menghormati pendiriannya dan mempertimbangkan keselesaan
semua pihak, maka kami menerima keputusannya," katanya
Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila Edry dikatakan tidak
berpuas hati dengan kritikan Rozita terhadap persembahan salah seorang
pelajar iaitu Sufi ketika program berlangsung.
Insiden terbabit juga kurang disedari penonton dan diperkatakan pada
malam kejadian kerana menyangka ia adalah sebahagian daripada gimik
program.
Dalam pada itu, Raqim berkata, pihaknya akan mendapatkan pengganti Rozita sebelum konsert minggu ketujuh, Ahad ini.
"Buat masa sekarang, kita tidak dapat umumkan lagi (pengganti) tapi
memang akan ada seseorang yang akan menggantikan Rozita sebagai juri
tetap.
"Kita sedang meneliti beberapa calon pengganti dan orang itu akan diperkenalkan pada malam konsert Ahad ini," katanya.