• =>

Memang sah Kevin Morais

Kuala Lumpur : Ujian DNA yang dilakukan terhadap mayat lelaki reput ditemui ditanam dalam tong dram di Subang Jaya, Khamis lalu, disahkan sebagai Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, ujian dilakukan pakar patologi mengesahkan persamaan DNA mangsa dengan sampel ahli keluarga Kevin.

Menurutnya, mayat mangsa kini masih menjalani proses autopsi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mengenal pasti punca dan cara kematiannya. 

Sementara itu, dalam pencarian barang kes oleh pasukan penyelam Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihaknya masih menunggu penemuan positif.

Coretan menyentuh hati daripada seorang suami

Kota Bharu: Pilu hingga menyentuh hati sesiapa yang membacanya. Itu yang dapat diperkatakan mengenai satu coretan dalam Facebook Allahyarham Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, yang syahid selepas terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah, Jumaat lalu.

Coretan dalam FB menggunakan nama Umi Basheer yang ‘viral’ itu dibuat suami Allahyarham, Mohd Fazlin Ismail, 37, selepas mendapat khabar duka isterinya terkorban dalam tragedi berkenaan.

Ketika dihubungi, di sini, Mohd Fazlin mengakui membuat coretan berkenaan khas untuk isterinya.
Bagaimanapun, dia tidak menyangka ia menjadi ‘viral’.

“Ketika ini saya dan ibu mentua menanti untuk mendapatkan visa ke Makkah,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai coretannya itu.

Berikut coretan Mohd Fazlin:
Selamat jalan isteriku, umi memang layak digelar syuhada. Damailah kau di sana
“16 tahun masa kita bersama. Bukanlah mudah bahtera kehidupan yang kita bina bersama-sama dilayari. Pelbagai dugaan dan cabaran yang kita tempuhi bersama-sama.

16 tahun masa kita bersama, Umi sentiasa tabah dan sabar melayani pelbagai ragam dan perangai abah. Tidak sekelumit pun hilang kesetiaan Umi pada abah.

16 tahun masa kita bersama, kini Umi telah pergi buat selama-lamanya. Tiada orang yang paling bertuah di dunia ini abah rasakan selain daripada abah mempunyai seorang isteri yang solehah seperti Umi.

Kini, kami kehilangan sesuatu yang amat besar dalam kehidupan kami. Tetapi takdir tuhan mengatasi segalanya dan kami seikhlas hati redha dengan ketentuanNya dan bersyukur perginya Umi sebagai seorang syuhada.

InshaAllah, abah akan penuhi hajat yang sentiasa Umi luahkan. Anak-anak abah akan isi dengan ilmu akhirat yang secukup-cukupnya. Biarlah suatu hari nanti anak-anak kita akan bergelar hafiz dan hafizah.

Moga-moga abah, kakak, adik dan Eiman dapat bertemu kembali dengan Umi di Sana nanti.

Abah halalkan dan ampunkan segala dosa-dosa Umi. Umi bagaikan kain putih bersih dan bagaikan bayi yang baru lahir bagi abah. Abah redha dengan segala-galanya.
Damailah Umi di sana.

Astro akur keputusan Che Ta

Kuala Lumpur : Astro selaku penyiar program realiti Akademi Fantasia (AF) 2015 akur dan menghormati keputusan Rozita Che Wan, 42, yang mengesahkan menarik diri sebagai juri tetap program berkenaan semalam. 

Rozita atau Che Ta membuat keputusan itu selepas diherdik Pengetua AF2015 Edry Abdul Halim, malam Ahad lalu.

Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad berkata, pihaknya menerima pengunduran Rozita dengan hati terbuka kerana keputusan terbabit dilakukan atas dasar profesionalisme.

“Sebenarnya selepas tamat program AF malam Ahad itu, Rozita sudah berjumpa saya dan menyuarakan hasrat untuk menarik diri selepas insiden itu.

"Kita pun tidak boleh paksa mana-mana individu terus bekerjasama dalam program kita jika keadaan kurang menyenangkan pihak tertentu.

"Sebagai menghormati pendiriannya dan mempertimbangkan keselesaan semua pihak, maka kami menerima keputusannya," katanya 

Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila Edry dikatakan tidak berpuas hati dengan kritikan Rozita terhadap persembahan salah seorang pelajar iaitu Sufi ketika program berlangsung.

Insiden terbabit juga kurang disedari penonton dan diperkatakan pada malam kejadian kerana menyangka ia adalah sebahagian daripada gimik program.

Dalam pada itu, Raqim berkata, pihaknya akan mendapatkan pengganti Rozita sebelum konsert minggu ketujuh, Ahad ini.

"Buat masa sekarang, kita tidak dapat umumkan lagi (pengganti) tapi memang akan ada seseorang yang akan menggantikan Rozita sebagai juri tetap.

"Kita sedang meneliti beberapa calon pengganti dan orang itu akan diperkenalkan pada malam konsert Ahad ini," katanya.

Komando atas kapal kargo

Kuala Lumpur : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan meletakkan pasukan komando di atas kapal milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara rawak dalam masa terdekat.

Pengarah Cawangan Siasatan Jenayah Maritim Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkifli Abu Bakar berkata ia adalah sebagai langkah untuk membanteras kegiatan lanun di perairan Malaysia.

"Perbincangan bersama pengurusan syarikat GLC terbabit sudah dilakukan dan mereka sudah bersetuju dengan langkah itu.

"Sekurang-kurangnya empat enggota komando akan berada di atas kapal kargo berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Mesyuarat Biro Maritim Antarabangsa Mengenai Masalah Lanun, Rompakan Bersenjata dan Keselamatan Maritim, di sini, hari ini.

Ketika ditanya bila operasi itu akan dimulakan, Zulkifli berkata pihaknya kini dalam peringkat terakhir dan hanya menunggu masa sesuai untuk digerakkan.

Aidiladha 24 September ini

Kuala Lumpur: Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 24 September ini, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman mengumumkan malam ini.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1436 Hijrah ialah pada Selasa, 15 Sept 2015.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 24 Sept 2015," katanya ketika mengumumkannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini. Bernama

97 suspek penagih dadah ditahan


Melaka: Sembilan puluh tujuh orang disyaki penagih dadah, ditahan dalam operasi bersepadu Op Ingkar di ladang kelapa sawit di Kampung Gelam, Tanjung Kling, di sini, tengah hari tadi.

Operasi bersepadu selama sembilan jam bermula 4 pagi itu diketuai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Imigresen Melaka.

Wanita berusia 21 tahun iaitu isteri salah seorang penagih dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dibawa bapanya turut ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam operasi itu, 85 motosikal dan sebuah basikal turut disita.

Pengarah AADK Melaka, Mohamad Yusof Kameh berkata, tiga lelaki dipercayai tokan turut ditahan dengan beberapa paket dadah jenis Heroin seberat 1 hingga 5 gram, dirampas.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala yang lain ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Sebaran palsu

Kuala Lumpur: Polis menafikan sekumpulan lelaki bermotosikal memakai baju merah berkumpul di sekitar ibu negara hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata, berita dan gambar yang tersebar di laman sosial itu tidak benar sama sekali.

"Polis mendapati tiada kumpulan berbaju merah berkumpul di bandaraya ini.

"Tiada sebarang penutupan jalan terutamanya yang menghala ke Plaza Low Yat,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pengesahan daripada balai polis berhampiran dan tidak mempercayai atau terpengaruh dengan penyebaran gambar dan berita yang tidak berasas itu.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan ke atas mana-mana inidividu yang dipercayai menyebarkan maklumat yang berunsurkan hasutan dan menakutkan orang ramai.

"Polis akan sentiasa memastikan keselamatan dan ketenteraman orang awam di sekitar Kuala Lumpur akan terus terjamin," katanya.

Terus bimbing dan sokong Stacy

Kuala Lumpur: Penyanyi Akim, 24, menganggap keputusan kekasihnya Stacy, 25, memeluk Islam, baru-baru ini adalah adalah satu pengorbanan besar dan dia akan sentiasa mengingati perkara itu.

Menurut Akim, perkara itu paling bahagia baginya sepanjang enam tahun berkenalan dengan Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikah Stacy Abdullah.

"Alhamdulillah, akhirnya Stacy menerima hidayah, tambahan pula abang dia turut memeluk Islam.
"Penghijrahan dia turut mendapat sokongan daripada ibu bapa kami," katanya.

Dalam pada itu, Akim turut menegaskan keputusan Stacy memeluk Islam bukan atas dasar cinta semata-mata.

"Sebenarnya, keinginan Stacy memeluk Islam sudah membuak-buak sejak Ramadan lalu dan kami menetapkan tarikh untuk dia mengucap kalimah syahadah," katanya.

Bagaimanapun, Akim enggan memberi komen mengenai perkahwinan mereka dan memberitahu dia kini memberi ruang kepada Stacy untuk mendalami Islam.

"Saya akan terus membimbing dan menyokong Stacy. Seorang ustazah muallaf turut menawarkan untuk mengajar dia mengenai Islam," katanya.

Sementara itu, Akim berkata, Stacy masih terkejut dengan penyebaran gambar dan video ketika dia mengucap kalimah syahadah di Internet.

"Perbuatan itu melampau dan menyebabkan Stacy tertekan sehingga menjejaskan kariernya. 

"Saya memaafkan individu itu dan menyerahkan Astro membuat tindakan lanjut mengenai hal berkenaan," katanya.