• =>

Angah kemudi program agama

Angah kemudi program agama
Anta Tanya, Ana Jawab bukan sekadar program bual bicara agama, malah ia diserikan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal tanah air sebagai tetamu yang pastinya mengundang gelak dan jenaka.

Program dihoskan pelawak terkenal, Angah itu menampilkan Ustaz Haslin Baharim atau lebih dikenali Ustaz Bollywood sebagai penceramah tetap. Anta Tanya, Ana Jawab bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi di Astro Oasis sejak 16 Disember lalu.
 
 Program setengah jam sebanyak 38 episod itu diterbitkan Shapeway Entertainment Sdn Bhd, syarikat produksi milik Angah yang dikongsi bersama pengarah filem ‘box office’, Ismail Bob Hasim.


Pelawak, pelakon jadi jemputan Setiap episod diserikan dengan kehadiran pelakon dan pelawak terkenal seperti Jep Sepahtu, Nabil Ahmad, Datuk Shah Rezza, Sharifah Shahira, Liza Abdullah dan ramai lagi. Setiap tetamu undangan akan muncul dalam tiga episod program berkenaan.

Henti merokok, tidur nyenyak

Henti merokok, tidur nyenyak  
Seorang lelaki merokok ketika dalam perjalanan menghadiri mesyuarat di Beijing, China, suatu amalan yang mengganggu tidur. 
 
London: Lupakan pil tidur atau senaman untuk membantu mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam kerana penyelidik menyatakan taktik terbaik adalah dengan berhenti merokok.

Penyelidik mendapati merokok boleh mengganggu tidur yang membawa kepada keadaan seperti kemurungan dan kegelisahan.
 
 Mereka menyatakan tabiat itu mengganggu sistem jam tubuh khususnya paru-paru dan otak.


Akibatnya, perokok tidak dapat tidur nyenyak dan keadaan itu boleh menyebabkan kemerosotan kognitif, gangguan perasaan, kemurungan dan kegelisahan.

“Kajian ini mendapati laluan biasa yang menyaksikan asap rokok memberi kesan kepada pulmonari dan saraf,” kata Dr Irfan Rahman dari Pusat Perubatan Universiti Rochester, New York.

Sebabkan keradangan

Dr Rahman dan pasukannya mendapati, asap tembakan memberi kesan kepada ‘sistem jam’ tubuh khususnya paru-paru dengan menyebabkan keradangan dan dengan tahap kemurungan aktiviti otak.
Mereka dapati, merokok dalam masa singkat pun mengurangkan molekul dikenali sebagai SIRTUIN1 dan pengurangan ini mengubah suai tahap protein yang mengawal keadaan tikus makmal.

Pengurangan sama dilihat pada tisu paru-paru perokok. Penyelidikan membuat penemuan menggunakan dua kumpulan tikus.

Satu kumpulan didedahkan kepada udara bersih saja, dan sekumpulan lagi didedahkan asap beberapa batang rokok sepanjang hari.

Penyelidik memantau corak aktiviti harian haiwan itu dan mendapati tikus dianggap tidak aktif berikutan pendedahan kepada asap rokok.

Mereka juga mendapati, paras rendah molekul SIRTUIN1 boleh menyebabkan gangguan pada tikus dan manusia yang terdedah kepada asap rokok. Namun, mereka juga berkata keadaan itu boleh diubah.

“Cuma jika anda mahu laksana satu azam Tahun Baru, berhenti merokok,” kata Ketua Editor The FASEB Journal, Gerald Weissmann, penerbit artikel itu.

Dr Rahman menegaskan, hasil kajian akan membuka jalan untuk rawatan memulihkan fungsi paru-paru dan otak di kalangan perokok, sekali gus memperbaiki tidur mereka.

“Hasil kajian menunjukkan nilai terapeutik menyasarkan laluan ini dengan bahan yang boleh memperbaiki fungsi paru-paru dan otak perokok.

“Kami jangka penemuan ini akan menjadi asas kepada perkembangan masa depan dalam rawatan kepada pesakit yang mengalami kecederaan dan penyakit berkaitan asap tembakau,” katanya.
AGENSI

Awan aneh di luar sistem suria

Awan aneh di luar sistem suria 
Imej yang dirakam teleskop Hubble menunjukkan awan aneh di dua planet luar sistem suria.

Los Angeles: Ahli kaji bintang mengesan awan aneh di atmosfera dua planet di luar sistem suria, dengan dua kertas penyelidikan menunjukkan jenis mendung di dunia asing itu mungkin sebenarnya fenomena biasa berbanding yang disangka sebelum ini.

Namun ia bukanlah awan yang sama dengan yang ada di Bumi dan besar kemungkinan terhasil daripada bahan seperti zink sulfida atau potassium klorida.
 
 Awan di Bumi, sebaliknya mengandungi gabungan titisan air dan ais.


Dua pasukan penyelidik berasingan memeriksa data daripada Teleskop Angkasa Lepas Hubbel berkaitan dengan planet luar sistem suria GJ 1214b dan GJ 436b.

Terletak 42 tahun cahaya dari Bumi, GJ 1214b adalah contoh utama planet super-Bumi manakala GJ 436b pada jarak 36 tahun cahaya adalah Neptun panas.

Biasa wujud

Super-Bumi adalah planet dengan jisim antara Bumi dan Neptun manakala Neptun panas, seperti namanya, adalah versi panas planet Neptun. Ia mengekalkan orbit dekat dengan bintang tidak sampai satu unit astronomi secara kasar jarak purata dari Bumi ke matahari, atau sekitar 144 juta kilometer.
“Kami tahu awan mesti ada untuk sebahagian planet, tetapi kini kami ada keputusan menunjukkan awan itu sebenarnya biasa wujud,” kata pakar astronomi di Institut Teknologi California di Pasadena, Heather Knutson, yang juga penulis utama kajian mengenai GJ436b kepada Space.com.

Kaji komposisi planet

Komposisi planet dikaji apabila ia melalui bintang. Apabila transit itu berlaku, molekul yang membentuk atmosfera eksoplanet itu menghalang bahagian berbeza spektra cahaya.

Dengan merakamkan seksyen mana yang membuat laluan dan yang mana tidak, pakar astronomi boleh menyimpulkan apa yang membentuk planet berkenaan.

Bagi GJ 1214b, pemerhatian itu diketahui kerana tidak mendedahkan petanda sebarang atmosfera langsung.

Ia bermakna awan tebal menghalang cahaya atau planet berkenaan dihasilkan daripada molekul berat seperti air, dengan graviti menekan bahan itu menjadi lapisan nipis dan mampat. AGENSI

Mutakhir Polis Bukit Aman selamatkan 108 wanita Vietnam dipaksa jadi GRO

SERI MANJUNG: Unit Antipemerdagangan Orang (ATIP) Polis Bukit Aman berjaya menyelamatkan 108 wanita warga Vietnam yang menjadi mangsa dipaksa menjadi pelayan pelanggan (GRO) di dua premis di sini dalam operasi bermula malam tadi hingga awal pagi tadi.

Semua wanita berusia 16 hingga 32 tahun itu dipercayai diperdaya untuk datang ke negara ini sebelum dipaksa menjadi GRO di sebuah pusat hiburan dan sebuah restoran di sini.

 Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Superintendan Ang Ah Ban, berkata dalam operasi bermula jam 11 malam hingga 2 pagi itu, seramai 100 pelanggan turut ditahan untuk disoal siasat bagi mengenal pasti pemilik sebenar dua premis terbabit.

"Ini adalah kes terbesar kami berjaya menyelamatkan mangsa pemerdagangan manusia," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi awal pagi tadi.

Kongsi hidup dengan ayam

Kongsi hidup dengan ayam  
Azman bersama isteri dan anaknya tinggal di bangsal buruk di pinggir sawah Kampung Behor Mentaloon, Arau.
 
Arau: “Saya tidak tahu apa nasib kami sekeluarga esok kerana tanah di tepi tali air tempat kami berteduh ini pun milik orang lain.”

Demikian kata Azman Ahmad, 44, isteri serta anak perempuannya yang terpaksa menumpang teduh di sebuah bangsal buruk di pinggir sawah di Kampung Behor Mentaloon, di sini, selepas terpaksa keluar dari rumah pusaka keluarganya berikutan selisih faham, dua tahun lalu.
 
Malah, nasib Azman pada hari mendatang juga tidak menentu kerana mendakwa pemilik tanah tempat mereka menumpang juga pernah meminta mereka keluar dari situ.



Pendapatan RM200 sebulan

Selain tinggal di bangsal yang buruk dan tidak berdinding, Azman serta isteri, Noor Azah Abdullah, 43, serta anak perempuan mereka, Nur Fatiha, 16, terpaksa berkongsi hidup dengan ayam kampung yang turut berteduh di situ.

Malah, sudut yang dijadikan ruang memasak di pondok itu juga hanya berlantai pasir dan berselut selain tompokan najis ayam.
Nur Fatiha yang juga satu-satunya anak mereka tidak lagi bersekolah selepas Azman tidak mampu menampung perbelanjaan harian keluarga, gagal menyediakan belanja persekolahan.

Azman berkata, pendapatannya RM200 sebulan hasil mengutip dan menjual barang lusuh dan mengambil upah menabur baja padi tidak cukup untuk menyara keluarga dan menyekolahkan anaknya.

“Di sinilah kami mandi, tidur, tukar baju malah masak pun atas tanah, Kami makan sekali saja sehari, iaitu pada waktu tengah hari, itu pun nasi lauk ikan kering. Kalau ada rezeki lebih boleh kami beli sayur dan ikan,” katanya.


Tak mampu sekolah anak

Ditanya mengenai anak perempuannya, Azman berkata Nur Fatiha sudah lama tidak ke sekolah kerana kesempitan wang dan kali terakhir anaknya itu ke sekolah ialah ketika belajar di Tahun Enam.

“Kami bernasib baik sebab ada juga orang kampung yang datang membantu, ada yang bagi beras, perkakas dapur, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kami sekeluarga,” katanya.

Sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika dihubungi mengesahkan keadaan keluarga terbabit sememangnya berada dalam pemerhatian mereka dan pihaknya kini sedang menyiapkan laporan mengenai bentuk bantuan yang bersesuaian untuk disalurkan.

Gadis trauma dituduh hamil

Gadis trauma dituduh hamil  
Siti Nor Hidayah menunjukkan notis yang dikeluarkan Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi dan dokumen keluar wad daripada Hospital Langkawi, semalam.
 
Langkawi: Seorang gadis trauma dan menanggung malu susulan tindakan Hospital Langkawi (HL) di sini, yang didakwa cuai mengendalikan pemeriksaan ke atasnya sehingga menyebabkan dirinya dituduh mengandung anak luar nikah.

Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, berkata dia kecewa dengan tindakan doktor yang merawatnya ketika itu yang menuduhnya mengandung anak luar nikah sedangkan berlaku kesilapan pada ujian dijalankan.
 
Justeru, Hidayah yang bekerja di sebuah hotel di sini, menuntut HL memohon maaf atas kecuaian dilakukan sehingga menyebabkan maruahnya tercemar dan dia tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.


Mengulas kejadian itu, beliau berkata, pada 24 Disember lalu, dia ke Klinik Kesihatan Kuah, di sini, bagi merawat kesakitan dialami pada bahagian kanan perut, sebelum dirujuk kepada seorang doktor.

Katanya, hasil pemeriksaan, doktor terbabit memaklumkan ada sedikit masalah pada ovari kanannya yang dikesan lebih besar berbanding saiz di sebelah kiri dan doktor berkenaan mengesyaki mungkin disebabkan bengkak, sebelum dia diberikan ubat.

Pada masa sama, doktor terbabit turut mengambil sampel darahnya, sebelum dia dibenarkan pulang tetapi selepas seminggu, kesakitan itu masih dirasai.

Rujuk pakar sakit puan

“Pada 31 Disember, saya sekali lagi ke klinik sama, sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan di HL.

“Saya menjalani ujian imbasan pada perut dan ujian air kencing di Unit Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum doktor memberitahu ada masalah pada saluran kencing, namun puncanya tidak dapat dikenal pasti.

“Saya dimasukkan ke wad dan keesokan harinya jam 10 pagi, tiga pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PAIDL) datang menemui dan bertanyakan pelbagai soalan tidak masuk akal.

“Paling mengejutkan, pegawai terbabit menuduh saya mengandung anak luar nikah. Ketika itu, jiwa saya luluh dan dunia rasa gelap, apatah lagi kata-kata pegawai terbabit turut didengar pesakit lain dalam wad sama,” katanya.

Hidayah berkata, ketika soal siasat dilakukan, beliau beberapa kali cuba meminta penjelasan jururawat dan doktor mengenai status ujian air kencingnya yang dikatakan positif mengandung, tetapi tidak dilayan kakitangan terbabit.


Perlu siasatan lanjut

“Saya tertekan apabila pegawai agama itu menyerahkan notis supaya hadir di PAIDL untuk siasatan lanjut dan meminta saya berdiam diri.

“Saya hanya menangis dan kemudian meminta ujian air kencing kali kedua dilakukan,” katanya.

Hidayah berkata, hasil ujian kedua itu menunjukkan beliau tidak mengandung dan dibenarkan pulang selepas tiga hari berada di wad.

“Saya rasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga menjatuhkan maruah sebagai gadis yang belum berkahwin. Saya mahu mereka memohon maaf dan kini berbincang dengan keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan berjanji mengambil tindakan sewajarnya jika aduan itu benar.

'Wujud pakat naik harga ais, alat tulis'

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat dakwaan kemungkinan wujud unsur pakatan dalam kenaikan harga ais dan alat tulis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shila Dorai Raj, berkata jika kenaikan harga adalah hasil perjanjian untuk menetapkan harga oleh mana-mana persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, perlakuan itu melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

 Seksyen itu memperuntukkan larangan kepada perusahaan termasuk persatuan daripada menetapkan secara langsung atau tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan lain untuk barang dan perkhidmatan.



Penalti 10 peratus

Katanya, tindakan mana-mana persatuan atau kumpulan yang berpakat untuk menaikkan harga adalah salah laku yang serius dan penalti maksimum sebanyak 10 peratus boleh dikenakan jika didapati melanggar akta itu.

“Kenaikan harga bukanlah suatu perlakuan antipersaingan tetapi jika perusahaan ingin menaikkan harga oleh kerana faktor kos yang semakin meningkat, ia patut dilakukan secara bebas serta tidak terikat kepada apa-apa perjanjian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini meminta MyCC untuk meneliti kemungkinan berlaku tingkah laku kartel (pakatan) oleh Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia.


Ais naik 50 sen

Tindakan MyCC itu juga diambil berikutan pengumuman pengeluar ais untuk menaikkan 50 sen setiap beg bagi ais tiub dan RM2.50 setiap blok ais. Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia pula mengumumkan akan menaikkan harga alat tulis pada suku pertama tahun ini.

Akta Persaingan 2010 diguna pakai terhadap semua aktiviti komersial yang ditanggung dalam dan luar negara yang boleh menjejaskan persaingan di pasaran Malaysia. Akta itu memberi satu rangka kerja kawal termasuk kuasa menyiasat, menghakimi dan mengenalkan penalti kepada pesalah.

Shila berkata, MyCC memberi mesej tegas kepada persatuan beberapa bulan lalu untuk menghentikan perlakuan pakatan sulit mahupun penetapan harga, tetapi tingkah laku persatuan yang semakin berleluasa baru-baru ini menyebabkan MyCC tiada pilihan selain mengambil langkah untuk menghentikan tingkah laku sedemikian.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana persatuan dan perusahaan perniagaan yang membabitkan diri dalam amalan penetapan harga atau berkelakuan seperti kartel boleh menghubungi MyCC di talian 03-22732277 atau e-mel complaints@mycc.gov.my

‘Robin Hood’ bantu mangsa kemalangan

‘Robin Hood’  bantu mangsa kemalangan  
Ahmad membantu mangsa yang cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Seri Bandi, Kemaman, semalam.
 
Kuala Terengganu: Selepas digelar ‘Robin Hood’ kerana menahan lori roti sebelum diagihkan kepada mangsa banjir bulan lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, sekali lagi menarik perhatian apabila membantu mangsa kemalangan jalan raya, petang semalam.

Dalam kesibukan bergegas ke beberapa lokasi bagi menghadiri program bersama masyarakat di Kijal, Ahmad sempat membantu mangsa kemalangan dua kenderaan di Seri Bandi, Kemaman, semalam.
 
 Arah pemandu berhenti

Beliau yang secara kebetulan melalui lokasi kejadian selepas menghadiri program penyampaian bantuan dana bakti remaja di Dewan Seri Bandi, Kijal, Kemaman jam 3.45 petang, mengarahkan pemandunya berhenti sebaik melihat kemalangan itu.

Kemalangan itu membabitkan sebuah PROTON Perdana dengan PERODUA Viva yang menyebabkan pemandu dan penumpang dua kenderaan itu cedera, termasuk seorang tersepit dalam remukan PROTON Perdana.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Rosli Zakaria, berkata kemalangan itu membabitkan tujuh mangsa, termasuk seorang mangsa wanita yang parah dalam PERODUA Viva.
“Ketika Ahmad singgah di lokasi, mangsa yang cedera belum dihantar ke hospital kerana menunggu ketibaan ambulans.

“Menyedari keadaan itu, beliau membenarkan keretanya diguna bagi menghantar mangsa ke Hospital Kemaman. Malah, beliau turut menahan beberapa kereta yang lalu di situ untuk menghantar semua mangsa yang cedera ke hospital untuk rawatan segera,” katanya.


Bantu mangsa tersepit

Rosli berkata, Ahmad turut cuba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta, tetapi mangsa tidak dapat dikeluarkan berikutan keadaannya yang tersepit agak parah.

“Namun, beliau tetap berada di situ sambil tidak putus-putus memberi semangat kepada mangsa untuk bertahan sehingga dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke lokasi.

“Selepas semua selesai, baru Ahmad bergegas ke majlis bersama masyarakat di Dewan Sivik Kijal dengan menumpang sebuah kenderaan lain yang menuju ke program sama,” katanya.

Bulan lalu, Ahmad digelar ‘Robin Hood’ oleh blogger pembangkang, berikutan tindakannya menahan lori muatan roti sebelum bahan makanan itu diagihkan kepada mangsa banjir di Chendor, Pahang.

300 kitab Bible Melayu dirampas

Petaling Jaya: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam merampas kira-kira 300 kitab Bible versi bahasa Melayu selepas menyerbu pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara, dekat sini.

Serbuan jam 1 tengah hari itu disertai 20 pegawai JAIS dan beberapa anggota polis.

 Sumber berkata, JAIS menerima aduan orang ramai mengenai persatuan itu menyimpan kitab berkenaan dan serbuan dilakukan kerana kitab itu mengandungi kalimah Allah.


“Bertindak atas maklumat orang ramai, pegawai JAIS menyerbu pejabat itu dan menjumpai kitab itu. Kita juga bawa dua pegawai pertubuhan itu ke Balai Polis Damansara untuk membuat laporan polis,” katanya.

Portal berita Malaysian Insider mengenal pasti dua pegawai PBM itu sebagai Pengerusinya, Lee Min Choon dan Setiausaha Agungnya, Simon Wong.


JAIS enggan ulas
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, yang dihubungi mengesahkan laporan polis dibuat JAIS dan kedua-dua pegawai persatuan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

“Apa pun, saya tidak mahu ulas banyak. Dapatkan penjelasan JAIS,” katanya.

November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan penerbitannya dalam akhbar mingguan The Herald versi bahasa Melayu, perlu dihentikan serta-merta.

Baginda dilaporkan bertitah, ia bertujuan mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.


Kalimah suci umat Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008, membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah memutuskan lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam.

Di Shah Alam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata kerajaan Selangor tidak mengetahui mengenai serbuan itu.

“Kami (kerajaan negeri) tidak ketahui apa-apa mengenainya. JAIS hanya boleh bertindak mengikut arahan daripada kerajaan negeri atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JAIS, Ahmad Zaki Arshad, berkata beliau tidak mengetahui mengenai serbuan berkenaan.

“Pihak yang boleh memberi kenyataan hanyalah pengarah,” katanya.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad untuk komen tidak berjaya kerana beliau tidak menjawab panggilan atau SMS yang dihantar kepadanya.

Budak mati ditinggal 9 jam dalam kereta

Budak mati ditinggal 9 jam dalam kereta 
Kakitangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) membawa keluar mayat Muhammad Ariff. 
 
Kuantan: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) bapanya di Indera Mahkota, dekat sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Ariff Mohd Yusof ditemui bapanya di tempat duduk belakang kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 5 petang.
 
 Bapa mangsa berusia 41 tahun dikatakan terlupa untuk menghantar Muhammad Ariff yang sepatutnya memasuki taska di Indera Mahkota.


Menurut sumber, pasangan terbabit dipercayai keluar dari kuarters guru di Pandan, dekat sini kira-kira jam 7.30 pagi untuk menghantar lima anak mereka, termasuk mangsa ke sekolah dan taska.

“Selepas menghantar anaknya, bapa mangsa pergi minum di sebuah kedai di Taman Tas. Isteri lelaki terbabit menghubunginya pada waktu tengah hari sebelum mereka pergi mengambil dua anaknya di sekolah rendah di Indera Mahkota,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Lupa hantar anak ke taska
Pasangan suami isteri terbabit dikatakan berada di sekolah itu sehingga jam 5 petang bagi menunggu dua anaknya selesai Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sebaik mereka pergi semula ke kenderaan untuk pulang ke rumah, bapa terbabit baru menyedari dia terlupa menghantar Muhammad Ariff ke taska sebelum melihat mangsa berada di kerusi belakang kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Pasangan terbabit kemudian membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas.