Filem Bukit Kepong “dipulihkan” dengan kos sebanyak RM100,000

Masih ingatkah anda filem Bukit Kepong? Mungkin remaja masa kini tidak tahu akan kewujudan filem ini. Filem ini dianggap legend kerana sebuah filem dari kisah sebenar yang terjadi di Bukit Kepong. Filem Bukit Kepong merupakan sebuah filem aksi/patriotik yang diarahkan oleh Jins Shamsudin dan dibintangi oleh dirinya sendiri, A. Rahim dan Hussein Abu Hassan. Filem ini berdasarkan kisah sebenar Serangan komunis di Bukit Kepong. Filem ini memenangi lapan anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-3, temasuk Filem Terbaik.[1] Filem ini telah ditayangkan kepada umum pada tahun 1981. Filem ini merupakan filem termahal dalam dekad 80-an dengan kos pembuatan sebanyak RM 1.3 Juta.

United Studios Sdn Bhd iaitu anak syarikat KRU International Sdn Bhd telah mengambil inisiatif untuk membuat pelaburan serta memasarkan filem epik/aksi “Bukit Kepong” untuk dipasarkan semula di pasaran tempatan dan antarabangsa. Selain “Bukit Kepong”, United Studios dan Jins Shamsudin Productions turut menandatangani perjanjian untuk membaik pulih 3 buah filem klasik lain iaitu “Menanti Hari Esok”, “Esok Masih Ada” dan “Tiada Esok Bagimu”.

Prodigital Lab Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh KRU Malaysia Sdn Bhd) merupakan studio pasca produksi yang bertanggungjawab membuat kerja-kerja “digital remastering” bagi visual dan audio filem “Bukit Kepong” yang telah diterbitkan oleh Jins Shamsudin Productions pada tahun 1981. Dalam usaha “menyelamatkan” kandungan filem “Bukit Kepong”, kerja-kerja rumit ini dijalankan dengan penuh teliti selama 3 bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos sekitar RM100,000.

Paling menarik Bukit Kepong dinaik taraf ke kandungan definisi tinggi (HD) tetapi anda akan lihat perubahan ketara seperti kualiti warna tampak seperti baru sahaja menjalani penggambaran, mutu audio juga dipertingkatkan serta penambahan kesan khas bunyi.

Umum mengetahui keadaan Dato’Jins Shamsudin serta beberapa kisah yang terjadi baru-baru ini, tetapi beliau yang ditemani anak sulungnya, hadir ketika sidang media diadakan. Jasa beliau dalam memartabatkan filem negara dengan jalan cerita seperti Bukit Kepong harus dicontohi dan dihargai. Oleh itu nantikan filem Bukit Kepong versi digital HD di pawagam pada Hari Kemerdekaan Malaysia. Sokong filem epik seperti ini supaya kita ingat jasa pejuang negara yang telah memerdekakan Malaysia tercinta. Semoga filem ini menyuntik semangat cintakan negara terutama dikalangan remaja masa kini.