Datuk Yusof Haslam Akan Mengarah Bersama Anak


Berkesempatan bertemu Datuk Yusof Haslam(DYH), pengarah yang pernah digelarkan six million dollar man gara-gara filem Sembilu 2 mencecah kutipan sebanyak RM6 juta, beliau masih sama seperti dulu. Walaupun pelbagai pangkat yang diberi, DYH tidak pernah ada perasaan bangga diri mahupun sombong. Diaju soalan mengenai filem tempatan masa kini, DYH begitu serius memberi pandangan yang dilihat satu pendapat yang jujur bagi seorang pengarah dan juga penerbit filem dan drama ini.

Beliau pernah merasai fasa kegemilangan. Untuk mengarah semula, beliau lebih gemar memberi peluang kepada kedua anaknya yang juga pengarah iaitu Syamsul dan Syafik. “Kalau saya hendak mengarah semula, saya akan bergabung dengan anak saya. Tetapi bukan dalam masa terdekat. Ini kerana saya perlukan idea daripada mereka. Mereka mempunyai idea dan teknik yang amat kreatif yang saya sendiri tidak tahu. Yalah, zaman saya mana sama dengan sekarang. Mereka lebih dekat dengan penonton masa kini. Nak tak nak, saya perlu ikut kehendak mereka”, katanya.

DYH turut menambah, dia tidak setuju juga dengan bajet yang digunakan oleh kedua anaknya. “Saya memang menjaga kos penggambaraan. Tetapi Syamsul mahupun Syafik akan sentiasa burst bajet. Saya bising. Tetapi redha juga selepas itu. Dalam hati, harap-harap apa yang mereka lakukan ini diterima ramai. Rupa-rupanya diterima walaupun saya tentang”, cerita DYH ketika ditemui di majlis pelancaran buku khas berjudul 30 Living Legends Media Hiburan dan DYH salah seorang daripadanya.

DYH turut berkongsi kesedihannya mengenai Dato”Jins Shamsuddin yang mengidap penyakit Alzheimer. “Filem Bukit Kepong mempunyai sejarah yang tersendiri. Apabila pihak KRU Studios ingin menayangkan secara versi HD, saya rasa amat berbangga. Saya tabik dengan apa yang mereka buat itu. Cumanya saya sedih sedikit kerana teraju utama, Dato’Jins Shamsuddin tidak mengingati filem tersebut. Tetapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya ada yang masih mengingati beliau. Maka terhasillah idea untuk menerbitkan semula filem Bukit Kepong,”.