Siti Nor Hidayah menunjukkan notis yang
dikeluarkan Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi dan dokumen keluar wad
daripada Hospital Langkawi, semalam.
Langkawi: Seorang gadis trauma dan menanggung malu susulan
tindakan Hospital Langkawi (HL) di sini, yang didakwa cuai mengendalikan
pemeriksaan ke atasnya sehingga menyebabkan dirinya dituduh mengandung
anak luar nikah.
Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, berkata dia kecewa dengan
tindakan doktor yang merawatnya ketika itu yang menuduhnya mengandung
anak luar nikah sedangkan berlaku kesilapan pada ujian dijalankan.
Justeru, Hidayah yang bekerja di sebuah hotel di sini, menuntut HL
memohon maaf atas kecuaian dilakukan sehingga menyebabkan maruahnya
tercemar dan dia tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan
undang-undang.
Mengulas kejadian itu, beliau berkata, pada 24 Disember
lalu, dia ke Klinik Kesihatan Kuah, di sini, bagi merawat kesakitan
dialami pada bahagian kanan perut, sebelum dirujuk kepada seorang
doktor.
Katanya, hasil pemeriksaan, doktor terbabit memaklumkan ada
sedikit masalah pada ovari kanannya yang dikesan lebih besar berbanding
saiz di sebelah kiri dan doktor berkenaan mengesyaki mungkin disebabkan
bengkak, sebelum dia diberikan ubat.
Pada masa sama, doktor terbabit turut mengambil sampel darahnya,
sebelum dia dibenarkan pulang tetapi selepas seminggu, kesakitan itu
masih dirasai.
Rujuk pakar sakit puan
“Pada 31 Disember, saya sekali lagi ke klinik sama, sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan di HL.
“Saya menjalani ujian imbasan pada perut dan ujian air kencing di
Unit Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum doktor memberitahu ada masalah pada
saluran kencing, namun puncanya tidak dapat dikenal pasti.
“Saya dimasukkan ke wad dan keesokan harinya jam 10 pagi, tiga
pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PAIDL) datang menemui dan
bertanyakan pelbagai soalan tidak masuk akal.
“Paling mengejutkan, pegawai terbabit menuduh saya mengandung anak
luar nikah. Ketika itu, jiwa saya luluh dan dunia rasa gelap, apatah
lagi kata-kata pegawai terbabit turut didengar pesakit lain dalam wad
sama,” katanya.
Hidayah berkata, ketika soal siasat dilakukan, beliau beberapa
kali cuba meminta penjelasan jururawat dan doktor mengenai status ujian
air kencingnya yang dikatakan positif mengandung, tetapi tidak dilayan
kakitangan terbabit.
Perlu siasatan lanjut
“Saya tertekan apabila pegawai agama itu menyerahkan notis supaya
hadir di PAIDL untuk siasatan lanjut dan meminta saya berdiam diri.
“Saya hanya menangis dan kemudian meminta ujian air kencing kali kedua dilakukan,” katanya.
Hidayah berkata, hasil ujian kedua itu menunjukkan beliau tidak
mengandung dan dibenarkan pulang selepas tiga hari berada di wad.
“Saya rasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga
menjatuhkan maruah sebagai gadis yang belum berkahwin. Saya mahu mereka
memohon maaf dan kini berbincang dengan keluarga untuk mengambil
tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail,
ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan berjanji
mengambil tindakan sewajarnya jika aduan itu benar.